Fasa-fasa Reput fros

Pada suhu 0°C (32°F), pembuluh darah yang berhampiran dengan kulit akan mula mengecut, dan darah akan dihalang daripada memasuki bahagian tangan dan kaki. Tindak balas yang sama akan berlaku apabila seseorang didedahkan kepada angin kencang. Pengecutan pembuluh darah ini dapat membantu mengekalkan suhu badan. Namun, di dalam cuaca sejuk melampau, atau apabila badan didedahkan kepada kesejukan yang melampau untuk jangka masa yang lama, strategi pertahanan ini akan mengurangkan pengaliran darah ke sesetengah bahagian badan ke tahap bahaya. Ketiadaan darah ini akhirnya akan membawa kepada pembekuan dan kematian tisu kulit pada bahagian yang tercedera.

Terdapat empat fasa reput fros, setiap satu mempunyai tahap kesakitan yang berbeza.[3]

Tahap pertama

Ia digelar frost nip dan hanya melibatkan bahagian permukaan kulit yang beku. Pada mulanya, kulit akan berasa gatal dan sakit. Kemudian, kulit akan mula membentuk tompok-tompok merah, putih dan kuning, lalu menjadi kebas. Bahagian badan yang terkena frost nip biasanya tidak akan rosak secara kekal, kerana kecederaan hanya berlaku di permukaan kulit. Namun, ketidaksensetifan kepada panas dan sejuk secara kekal kadangkala berlaku kepada mereka yang terkena frost nip.

Tahap kedua

Jika pembekuan berterusan, kulit boleh membeku dan mengeras. Tetapi, tisu-tisu dalaman tidak akan terjejas. Kecederaan darjah kedua biasanya akan melepuh 1-2 hari selepas membeku. Lepuh akan menjadi keras dan menghitam, dan biasanya kelihatan lebih parah daripada yang sebenarnya. Kebanyakan kecederaan ini akan pulih dalam masa sebulan, namun kawasan yang terjejas mungkin tidak dapat merasa panas atau sejuk secara kekal.

Tahap ketiga dan keempat

Jika bahagian itu membeku lebih dalam, reput fros dalam akan berlaku. Semua otot, tendon, pembuluh darah dan saraf di bahagian itu akan membeku. Kulit akan berasa keras dan seolah-olah berlilin, dan tidak dapat digunakan untuk sementara. Namun, dalam keadaan-keadaan yang lebih parah, anggota tersebut tidak dapat digunakan lagi. Reput fros dalam akan membentuk lepuh keunguan yang akan bertukar hitam, dan biasanya berisi darah. Kerosakan saraf di kawasan tersebut akan menyebabkan kehilangan deria sentuhan. Reput fros yang ekstrem akan menyebabkan jari-jari tangan dan kaki dipotong sekiranya kawasan tersebut dijangkiti gangren. Sekiranya reput fros tidak dirawat, anggota yang tercedera mungkin akan terus tertanggal. Kerosakan bahagian-bahagian badan yang terkena reput fros mungkin memerlukan beberapa bulan untuk dinilai, dan ini sering melambatkan pembedahan membuang tisu-tisu yang telah mati.[4]

Rujukan

WikiPedia: Reput fros http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://www.diseasesdatabase.com/ddb31167.htm http://linkinghub.elsevier.com/retrieve/pii/0011-2... http://www.emedicine.com/derm/topic833.htm http://www.emedicine.com/emerg/topic209.htm http://www.emedicine.com/med/topic2815.htm http://www.emedicine.com/ped/topic803.htm http://www.emedicinehealth.com/frostbite/article_e... http://www.mayoclinic.com/health/first-aid-frostbi...